I miss You

Negeri Kedah pada awal abad 20 mula terkenal sebagai tempat perkembangan Agama Islam yang subur selepas pudarnya pengaruh Hindu-Buddha. Hal ini amat ketara sekali terutama pada masa pemerintahan Sultan Ab. Hamid Halim Syah di mana munculnya beberapa orang tokoh ulama seperti Hj. Wan Sulaiman yang telah mendirikan Madrasah Hamidiah pada tahun 1920.

Madrasah yang dinamakan mengambil sempena nama Sultan Abd. Hamid Halim Syah itu telah berkembang pesat sebagai pusat pembelajaran Agama Islam dan Bahasa Arab di kawasan Utara Semenanjung dan telah berjaya melahirkan ramai guru agama yang amat diperlukan pada waktu itu.

Perkembangan pesat ini memerlukan sebuah sekolah lain bagi menampung pertambahan bilangan pelajar di samping memberi pelajaran di peringkat yang lebih tinggi lagi daripada setakat darjah lima yang diajar di Madrasah Hamidiah. Di atas daya usaha YM Tengku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin yang menjadi Pemangku Raja pada masa itu, sebuah sekolah baru yang lebih sempurna dan lengkap telah didirikan pada tahun 1936.

Sekolah yang terletak di Simpang Kuala, Alor Setar ini kemudiannya dikenali sebagai Al-Maahadil Mahmud atau Maktab Mahmud mengambil sempena nama Pemangku Raja YM Tengku Mahmud.

Maktab ini ditadbirkan oleh satu Jawatankuasa Penasihat yang dilantik dengan perkenan Sultan Kedah. Menteri Besar biasanya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penasihat itu dan Guru Besar Maktab sebagai Setiausaha. Jawatankuasa dilantik daripada golongan ulama dan Sheikul Islam dan kuasa pentadbirannya terletak di bawah kuasa pejabat Hal Ehwal Agama Islam Kedah.

Maktab Mahmud sebagai sebuah sekolah Agama yang ulung itu sudah pasti memerlukan sumber kewangan yang kukuh bagi mengurusnya. Pada peringkat awal penubuhannya, maktab ini dibiayai oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah. Selain zakat, maktab juga mempunyai tanahnya sendiri yang didermakan kepadanya oleh beberapa orang dermawan tempatan yang berjumlah kira-kira 83 ekar tanah yang diwakafkan pada maktab. Melalui sumber-sumber inilah juga pihak maktab dapat menambahkan sumber kewangannya bagi membiayai pelajar-pelajar yang dihantar melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.

Kemasukan ke maktab ini juga agak berlainan dengan sekolah-sekolah lain. Pelajar-pelajar yang ingin memasuki Maktab Mahmud perlu mengisi satu borang khas yang dikeluarkan oleh pihak Maktab. Syarat utama untuk memohon memasuki maktab ini, pelajar-pelajar mestilah tidak kurang daripada 13½ tahun umurnya dan mestilah lulus darjah 5 atau 6 Sekolah Kebangsaan atau Jenis Kebangsaan dan boleh membaca Al-Quran. Walaupun mencukupi syarat-syarat tersebut calon-calon yang memohon memasuki maktab ini juga akan ditemuduga oleh Jawatankuasa Pemilihan bagi menentukan seseorang calon itu berjaya atau gagal untuk memasuki maktab ini.

Maktab ini juga agak berlainan dengan sekolah-sekolah lain dalam beberapa hal. Waktu belajarnya dari jam 8.00 pagi hingga 12.45 tengahari. Pelajar-pelajar belajar dalam 6 hari seminggu dengan hari Jumaat sahaja mereka cuti. Pada peringkat awal maktab ini, pelajar diajar dalam Bahasa Pengantar Arab sahaja dan mata pelajarannya juga tentang Agama Islam dan Bahasa Arab. Hal ini bersesuaian dengan matlamat maktab ini yang mahu menyumbangkan ilmu pengetahuan Islam pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

Walau bagaimana pun sejak tahun 1962 maktab telah berubah berikutan perubahan dasar pelajaran negeri dan maktab mula memperkenalkan mata pelajaran akademik yang diajar menerusi Pengantar Bahasa Melayu yang membolehkan pelajar-pelajar menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP), sekarang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini memberi peluang pada pelajar-pelajar lepasan Maktab Mahmud untuk berkhidmat dalam pentadbiran awam.

Selain itu, Maktab Mahmud juga dari semenjak ianya dibuka sehingga tahun 1967 telah mewajibkan semua pelajar tahun akhir menduduki satu peperiksaan khas yang dikenali sebagai Sijil Maktab Mahmud. Sijil ini diakui oleh Kerajaan Negeri Kedah, Universiti Azhar, Mesir dan beberapa buah Universiti lagi di Timur Tengah. Satu keistimewaan bagi mereka yang memiliki Sijil Maktab Mahmud ini ialah mereka dibenarkan masuk terus ke Universiti di Timur Tengah tanpa menduduki kelas persediaan terutama pada mereka yang mengambil bidang Perundangan Islam, Bahasa Arab dan Kesusasteraan Arab. Ini membuktikan bahawa tahap Pengajian Islam dan Bahasa Arab lepasan Maktab Mahmud begitu baik dan diakui di peringkat antarabangsa.

Sejak ditubuhkan Maktab Mahmud telah banyak berubah sesuai dengan perkembangan dasar pelajaran di mana pelajar-pelajarnya belajar 2 bidang iaitu bidang agama dalam Pengantar Arab dan bidang akademik dalam Pengantar Melayu. Ini membolehkan pelajar-pelajar itu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di samping sijil-sijil dalam bidang agama.

Daripada suatu segi ini amat menguntungkan kerana pelajar-pelajar boleh menguasai dua bidang sekaligus, agama dan akademik. Tetapi pelajar-pelajar juga terpaksa menumpukan sepenuh perhatian dan beban kerja yang lebih daripada sekolah biasa.

Walau bagaimana pun, memang tidak dapat dinafikan bahawa Maktab Mahmud telah berjaya melahirkan ramai tokoh yang berjiwa Islam terutama guru-guru agama dan pegawai-pegawai yang berkhidmat di Majlis Agama Islam serta badan-badan lain. Di antara mereka yang terkenal yang pernah mendapat didikan di Maktab Mahmud ini ialah Dr. Abd. Halim Ismail, Allahyarham Sheikh Mohsein Hj. Salleh dan Ustaz Mohd. Fadhil Noor iaitu pelajar pertama maktab ini yang mendapat pangkat pertama Sijil Kismul Ali dan lain-lain. Dan kini Maktab Mahmud masih teguh berdiri sebagai rumah ilmu yang telah banyak jasanya itu.


ARKIB NEGARA MALAYSIA

posted under , |

1 comments:

afeefa said...

Assalamualaikum!..nice blog..

Newer Post Older Post Home
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

About Me

My photo
Cheras, HUKM, Kuala Lumpur, Malaysia
An observer, a thinker

Countdown to professional exam

Twitter Updates

    follow me on Twitter

    Followers


    Recent Comments